Monday, February 6, 2017
Haji - Seorang Lelaki
Coretan ku ini sekadar pengalaman orang biasa bukan bersifat ilmuan agama. Aku menilai kerja menunaikan haji sebagai satu yang sangat indah melalui apa yang pernah aku lalui dan sudah pasti kurnian itu lebih lagi dipihak jamaah lain kerana kurniaan Ilahi kepada setiap makhluknya berbeza beza. Selagi kukuh islam dihati, maka tidak akan terpinggir dari keinginan mengerjakan rukun Islam yang kelima ini. Hari ini dikatakan sukar untuk membolehkan kita pergi menunaikannya. Jika daftar sekarang bererti puluhan tahun lagi baru akan di panggil. Dalam ukuran giliran harus benar, tetapi jika kita sudah dikehendaki menjadi tetamu Allah, maka tiada apa yang boleh menyekatnya. Mendaftar itu lebih penting, ketetapan bila bakal dipanggil, serahkan pada Allah. Macam macam laluan kisah yang di dengar tentangnya. Semasa menghadiri kursus, bertanya tanya pada kawan sebelah, "oh saya tak duga nama boleh naik, baru berapa tahun lepas saya daftar," cerita seorang pesara. "Saya pergi ni kerana mengiring isteri sebagai mahram," cerita sorang muda sekitar 35 tahun. "Saya baru pulih dari rawatan buah pinggang, saya rasa nak sangat pergi haji, sebab .. , saya pun daftar, tiba tiba TH balas suruh pergi kursus," tak kurang 50 tahun umurnya. Dan banyak lagi cerita yang bukan kerja kita untuk mengetahui apa yang boleh berlaku diesok hari. Aku mendaftar 8 tahun yang lepas. Mendaftarlah dengan niat yang baik dan berdoalah, mudahan disegerakan oleh Allah, kerana Allahlah yang lebih tahu dan Dialah akan memudahkan.
Setiap tahun diadakan kursus haji oleh TH. Masjid masjid utama akan menjadi tempat kursus. Pilih mana masjid yang disukai. Daftar (tak daftar, tak bayar pun boleh) untuk mendengar kuliah, selalunya pada hari sabtu atau ahad dalam masa dua jam bermula jam 9 hingga 11 pagi. Bayaran yang dikenakan pun murah, lebih kurang RM70/80 untuk 15/16 minggu. Bayaran tu mungkin untuk penceramah, bahan rujukan, minuman dan makanan ringan waktu rehat. (Jika tak bayar jadilah pendengar yang baik, tiada salahnya). Aku ikuti kursus dua kali sebelumnya, bila nama naik, barulah aku ikuti secara serius, hingga ke kursus perdana. Apapun ilmu agama itu berguna bukan hanya kerana nak menunaikan haji. Disana aku menemui ramai kenalan yang baik. Sekalipun tidak mengenali mereka secara rapat, didalam jutaan manusia dan tempat penginapan yang berbeza, dengan tidak diduga Allah pertemukan juga dengan mereka semasa di Mekah.
Sudah pastinya bila nama dipilih, persoalan utama ialah perbelanjaan. Jumlah belanja mengerjakan haji sekarang (2017) dikatakan tidak berubah dari beberapa tahun sebelum ini iaitu RM 15 ribu. Jika nama terpilih, TH akan menghantar borang persetujuan untuk pergi dan juga pengesahan jumlah duit didalam akaun TH berjumlah RM 15 ribu. Untuk jamaah yang pertama kali pergi, TH akan memulangkan sekitar RM5 ribu, dan jumlah ini melebihi keperluan berbelanja di Arab sekitar empat puluh hari tersebut. Jika jumlah simpanan TH tidak mencukupi, segera berurusan dengan TH untuk mengekalkan nama atau terpaksa membatalkan atau menunda pemergian dengan surat. Kita mesti berpegang teguh dengan ketatapan Tuhan kenapa berlakunya sesuatu seperti itu. Duit bukan ukuran kukuh untuk membolehkan kita menunaikan haji. Keizinan Allah lah yang menentukan segalanya. Ada juga cerita aneh didalam proses persetujuan menerima tawaran haji. Seorang yang tidak cukup duit pergi ke pejabat TH minta penangguhan kelain tahun tetapi ditolak oleh TH kerana ada cerita hebat diperantaraannya. Sekali lagi dia datang ke pejabat TH untuk tujuan penangguhan, tetapi sangatlah terkejut bila di beri tahu jumlahnya sudah mencukupi, diinfakkan oleh seorang hamba Allah yang lansung tidak dikenali siapa. Maha suci Allah.
Aku sangat menyarankan kepada sesiapa yang punya kemampuan kewangan, pergilah mengerjakan umrah terlebih dahulu, kerana kepentingan pengalamannya dan kerana beza diantara kerja rukun umrah dan rukun haji sedikit sahaja. Umrah boleh dikerjakan sepanjang tahun. Rukun Umrah 5 perkara: 1. Niat 2. Tawaf 3. Saie 4. Tahalul 5. Tertib. Manakala Rukun Haji pula Haji pula 6 perkara: 1. Niat 2. Wukuf 3. Tawaf 4. Saie 5. Tahalul 6. Tertib (Wukuf di Arafah – Kemuncak pekerjaan haji – membezakan diantara keduanya dan hanya boleh dilakukan di bulan haji sahaja). Mudah mudahan dengan pengalaman umrah, dengan melawat ketempat Wukuf, mabit – Muzdhalifah dan Mina tempat melontar, kita sudah mendapat gambaran yang memudahkan kita menunaikan rukun yang fardhu itu.
Bagi jamaah yang telah terpilih, tumpukan kepada kursus dan penjagaan kesihatan diri. Disamping itu bersiap dengan barang yang perlu dibawa. Persiapan.(Lelaki sahaja) Fahaman umum, pergi untuk tempuh sekitar 40 hari, adalah dikira lama. Maka persiapannya agak besar terutama pada pemakaian. Hakikat itu tidak tepat terutama pada jamaah lelaki. Aku diantara jamaah yang membawa beg utama dengan muatan tersedikit. Bagus untuk membawa beg yang besar, tetapi muatan tidak seharusnya banyak melangkaui keperluan seperti yang di ragukan. Beg besar berfaedah untuk mengisi barang yang mungkin dibeli untuk dibawa balik ke tanah air. Kita akan saksikan ramai jamaah yang poskan pakaian balik ketanah air kerana tidak diperlukan.
Barang bawa - asas yang perlu disediakan oleh jamaah lelaki. =1 helai kain ihram. =2 helai kurta/jubah. =1 helai pulikat berjahit. =1 helai pulikat tidak berjahit. =3 helai tee shirt. =2 helai seluar (slack lembut). 1 helai seluar trek. =1 helai tuala. =1 helai baju melayu. =1 pasang sandal (dibuatkan pananda). Pakaian boleh dibasuh bila bila masa dan cepat kering untuk ulangan memakai. Khidmat dobi juga ada. Barang bawa - tambahan. =Handphone – (komunikasi dan bergambar). =1 helai sejadah nipis (untuk diangkut kemana mana terutama ke masjid haram – lapik solat atau peneduh). =Beg sandang nipis/kecil (meletak sandal dan lain lain untuk dibawa masuk kedalam masjid semasa solat). 3-4 bilah pisau lipat kecil (pisau lipat budak sekolah). =Pinggan/mangkuk/cawan/jug kecil plastic, sudu garfu. (bagi keperluan makan minum di bilik). =1 helai selimut nipis. Shower cream, shampoo, gunting kecil, berus/ubat gigi, shaver (bagi keperluan penjagaan diri). =AC (Wall Plug Adapter) – sesuaikan dengan wall plug di Arab. =Ubatan/vitamin. Makanan siap masak (sambal/rendang dsbnya).
Semua perkara tambahan atau pun asas tadi boleh didapati dengan mudah di Mekah atau Madinah. Dengan membawa awal dari tanah air, kita tidak perlu tergesa gesa membeli dan mungkin lebih murah, kerana perbezaan mata wang kita dengan Arab buat masa ini. Keperluan yang mungkin perlu dibeli di Maktab. =Baldi (untuk membasuh pakaian). =Sabun membasuh. =Hanger pakaian-(untuk menyidai pakaian) – Hanger dawai crome selalunya mudah didapati ditepi kedai pakaian kerana peniaga akan membuangnya. (minta izin dari pekedai untuk diambil). =Tali rupiah(untuk membuat sidaian) – maktab selalunya akan membenarkan tapak atas bumbung sebagai kawasan sidaian. Ada yang merintangkan tali disepanjang corridor setiap aras dan di tepi tangga turun laluan keluar kecemasan.
Makanan seperti roti, biskut, air minum, sos, kicap, jem buah, sardin tuna, salad, timun, marjerin, serbuk peket minuman. (Perlu bagi melapik perut untuk bergerak ke masjid atau dimakan waktu rehat). Barang barang yang diberi oleh TH. =Beg beroda ukuran sedang (memuatkan barang sentiasa diguna, juga cukup untuk memuatkan barang keperluan lima hari, wukuf didiarafah dan mabit dimina). =Beg sandang (kebiasaannya di bawa kemana mana dengan muatan seperti dokumen, duit, ubat, air – ramai yang tidak membawanya kerana agak menganggu pergerakan disebabkan saiznya). Aku menggunakan beg pinggang nipis dipakai didalam jubah/kurta, diisikan duit kad rawatan dan handphone. =Gelang alumunium tag pengenalan diri (mesti dipakai selagi berada di Mekah). =Rekod kad prubatan. (memudahkan pihak pengurusan menilai masaalah penyakit). =Ubat dan vitamin. Beg selipar(beg sandang nipis). Aku menggunakan beg sandang nipis yang ku bawa sendiri untuk muatan air botol, sejadah nipis selain sandal yang dibungkus dengan beg lain terlebih dahulu. =Makanan/minuman semasa di Maktab – Air Minum, Bungkusan Nasi/Lauk, Buah, Mee Segera, Uncang Teh, Gula peket.
Berangkat ke Arab. Kita ke Mekah melalui dua pintu masuk, Jeddah dan Madinah. Jamaah diperingkat awal, ada yang masuk melalui Jeddah dan berangkat ke Madinah. Ada yang terus ke Madinah, tinggal disana lebih kurang 9 hari dan kemudian bergerak ke Mekah. Satu peringkat lagi, akan terus masuk melalui Jeddah dan terus ke Mekah. Setelah selesai menyempurnakan kerja haji, sebelum berangkat balik mereka akan memasuki Madinah dahulu. Kumpulan kami terus ke Jeddah, dari Jeddah terus ke Mekah. Kebetulan kami adalah kumpulan pertama yang terus ke Mekah. Di TH Kelana Jaya, kami telah pun bersiap dengan memakai ihram, selesai segala urusan di luar komplek, menghantar bagasi ke ruang menghimpun, mengucap salam perpisahan dengan ahli keluarga, jamaah akan masuk ke dalam dewan komplek untuk taklimat ringkas. Selesai taklimat terus menaiki bas dan bergerak menuju KLIA. Dari tempat duduk dalam bas dapat dilihat suasana kehebatan keberangkatan para jamaah dengan konvoi beberapa buah bas yang ekslusif dan diiringi polis trafik sepanjang perjalanan ke terminal. Jadual penerbangan pada jam 2 pagi dengan pesawat Saudi.
Semua jamaah didalam pakaian ihram tetapi masih bebas dari pantang larang sehinggalah merentasi sempadan miqat makani di Qarnul Manazil, sekitar empat atau lima jam mengharungi perjalanan udara. Jamaah akan diumumkan untuk berniat bila merentasi laluan itu. Jamaah tidak digalakan berniat terlalu awal, samada di komplek TH atau di KLIA kerana dikhuatiri melanggar pantang larang ihram. Niatnya: Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Diteruskan dengan mengulangi talbiah. Kita harus tahu pilihan jenis haji yang hendak kita kerjakan. Haji Qiran, Tamattu atau Ifrad.
Aku memilih haji Tamattu dan rata rata jamaah sedunia memilih haji Tamattu dengan mengerjakan umrah dahulu dan bila sampai hari wukuf baru mengerjakan haji. Terutama pada jamaah seperti kami yang akan menetap dimaktab lebih 20 hari menantikan hari wukuf. Dengan mengerjakan haji tamattu, selepas sahaja tahalul umrah, akan bebas dari pantang larang ihram. Ada juga jamaah yang memilih haji Ifrad. Kesediaan mereka untuk pilihan haji Ifrad adalah sangat disanjung kerana mereka bersedia menanggung segala ujian semasa didalam ihram. Haji Qiran jarang di bincangkan kerana ianya dilakukan oleh pihak pihak tertentu dengan sebab sebab tertentu. Haji tamattuk dikenakan dam berupa seekor kambing. Urusan dam telah kita serahkan pada pihak TH. Haji tamattuk dikenakan dam kerana pemakaian ihram yang dilakukan dua kali. Sekali lagi ihram akan di pakai pada hari wukuf.
Dalam pakaian ihram, kami sampai di Jeddah setelah terbit matahari. Sementara menanti bagasi jamaah sempat mengerjakan solat qadha subuh dan setelah mendapatkan bagasi, terus bergerak ke Mekah. Setiap satu penerbangan, tak kurang 20 puluh buah bas menanti untuk mengankut kami. Pergerakan lancar merentasi laluan padang pasir diantara Jeddah ke Mekah. Kerenah unik yang mungkin asing bagi setengah pihak ialah menjalankan kutipan derma untuk pemandu. Bukan ada paksaan, berilah berapa pun kerana memberi itu memang satu yang digalakan. Bersangka baik dan berniat baik sudah memadai mengisi kantung pahala diri. Pemandu disana adalah pekerja sementara yang diambil dimusim haji.
Memasuki Mekah, sampai disatu kawasan pengurusan muasasah, bas berhenti untuk menyerahkan document jamaah. Muasasah ialah pihak bertanggungjawab Arab Saudi yang mengendalikan urusan jamaah haji satu dunia, pihak TH dan Kerajaan Malaysia hanya perantaraan yang mengendalikan jamaah mengikut peraturan yang telah mereka tetapkan. Passport semua jamaah di bawah kawalan dan simpanan mereka. Tidak jauh dari situ kami pun sampai di maktab, Rehb Adjanadriah. Tak sangka pulak bas kami yang terawal sampai, berbanding banyak bas lain yang sudah mendahului. Setelah semua bagasi diturunkan, jamaah mula mendapatkan bilik masing masing seperti yang telah di aturkan oleh TH. Semak nama dan ambil kunci. Ditingkat tiga, aku tengok senarai nama di pintu, bersama empat lagi yang tidak ku kenali sama sekali. Aku orang yang pertama membuka pintu dan pada mulanya terkejut dengan susunan katil single yang rapat mengelilingi dinding bilik. Aku pilih sahaja satu yang terbaik mengikut pilihan hati. Hampir dua jam baru lah bertemu kawan kawan lain. Kami berkenalan dan bagaikan dunia kami sudah terlalu lama berkenalan, segalanya bersifat sangat mesra, bersemangat dan berkerjsama dari mula hinggalah kembali ke tanah air. Satu ikatan yang sangat kukuh hingga kehari ini.
Di maktab. Seorang senior dari Kedah, beza 6 tahun tua dari ku , uzur dipeha, kurang kuat berjalan, kesan cedera kemalangan motor tetapi sihat dan datang bersama isteri. Aku yang kedua senior dari Selangor, yang ketiga 2 tahun muda dari Perak dan datang bersama isteri, yang ke 4, 10 tahun lebih muda dari Perak, anak menantu kepada yang kawan tersenior, juga datang bersama isteri dan yang ke 5 dari Kedah, sangat muda, sudah beristeri tetapi datang berdua dengan ibu sebagai mahram. Bilik isteri aku hanya disebelah, dia bersama kakak ipar, biras aku dan tiga lagi dari satu keluarga lain. Mereka juga punyai hubungan persefahaman yang sangat baik, sangat bermaufakat, bekerjasama dan sangat akrab sehingga kehari ini.
Bilik jamaah lelaki dan wanita berasingan dan diaras yang sama dan tidak jauh bersebelahan dengan mahram masing masing. Bilik yang lengkap dengan aircond, kipas, tv dan bilik air yang baik, sinki dapur, almari pakaian, peti sejuk, kerusi, meja makan dan cerek letrik. Setelah menyusun barang mengikut kesesuaian, kami berehat kerana tidak berapa lama selepas itu semua jamaah yang baru tiba akan berhimpun di perkarangan luar maktab mendengar taklimat ringkas untuk mengerjakan Umrah. Kami bergerak menuju ke Masjid Haram sekitar jam 11 malam. Kedudukan maktab agak jauh, 900 meter dari Masjid Haram. Oleh kerana semua jamaah sedang bersemangat, dengan pimpinan petugas TH, jamaah berjalan beramai menuju ke masjid. Perasaan yang sangat teruja dan sangat indah bermain difikiran setiap jamaah. Tidak berapa jauh sudah nampak menara jam besar masjid haram yang gah terang benderang dan langkah kaki semakin ringan. Ingatan ku terhadap masjid haram masih baik, tetapi perbezaan ketara ialah perubahan pembangunan disekitarnya kerana kedatangan aku dulu telah melebihi 15 tahun. Sepanjang jalan sejauh 900 meter, bukan sahaja kami yang memenuhi laluan. Ribuan jamaah dari seluruh pelusuk dunia yang mendiami maktab maktab lain disepanjang laluan, samada pergi atau yang balik dari masjid haram.
Memang tiada hentinya siang dan malam. Oleh kerana suasana malam dan disinari cahaya lampu, suasana alam yang sebenarnya tidak dapat dinilai. Hakikatnya bila hari siang, baru kita tahu disekeliling dan disepanjang jalan dipenuhi debu dari projek pembangunan yang rancak berjalan. Pemakaian tutup hidung sangat mustahak diwaktu itu dan bila bila sekalipun. Sampai sahaja di persekitaran masjid haram, masuk melalui pintu utama, jamaah pun di halakan menuju ke belakang garis mula tawaf. Didalam puluhan ribu jamaah yang sudah bergerak, kami memulakan langkah tawaf hingga selesai ketujuh tujuhnya. Pada peringkat awal nampak jamaah kita masih berpasukan, tetapi lama kelamaan sedikit demi sedikit berpecah dan tidak kelihatan. Hakikatnya bukan mudah untuk mengenali jammah dari kumpulan sendiri lebih lagi kita belum mengenali sesiapa. Mungkin mereka berpecah secara kumpulan kecil. Mungkin telah ada yang berpengalaman untuk membolehkan mereka membawa diri masing masing. Aku juga tidak berapa ragu dengan pergerkan disana kerana masih teringat lagi pengalaman yang pernah dilalui semasa mengerjakan umrah sebelum ini.
Tanpa disedari aku diikuti oleh sahabat sebilik dari mula tawaf. Katanya dia mengikut kerana aku sudah berpengalaman. Allahu’alam. Terus saja mengerjakan solat sunat tawaf dicelahan ribuan jamaah di laluan menuju ke bukit safa. Terus melangkah masuk ke pintu menuju ke bukit safa dan mengerjakan saie dari bukit safa ke marwah sebanyak tujuk pusingan hinggalah bertahalul. Dengan bertahalul lengkaplah kerja umrah dan tersendirinya lepaslah kita dar larangan ihram. Maha suci Allah, terasa satu kepuasan dengan lengkapnya ibadah ini. Kami berehat diruang kosong sekitar bukit marwah dalam tempuh yang agak lama barulah mengorak langkah balik ke maktab. Malam pun sudah agak lewat, melebihi pukul 2 pagi, barulah nampak reaksi masing masing yang sudah mula keletihan dan langkah pun mula lesu untuk berjalan balik, lebih lagi didalam pakaian ihram. Memang seharusnya letih kerana waktu berehat kami sangat terbatas sejak mula bergerak dari komplek TH hinggalah lengkapnya umrah. Alhamdulillah tiada sesiapa pun dikalangan jamaah kami dikabarkan tergencat umrahnya.
Kelapangan yang panjang menunggu hari wukuf.
Setelah menyempurkan umrah bererti kita sudah bebas dari larangan didalam ihram. Semua jamaah kelihatan berpakaian bebas kecuali teramat sedikit yang kekal didalam ihram kerana memilih haji Ifrad. Aku masih ada lebih 20 hari sebelum sampai waktu wukuf. Hari yang sangat panjang untuk diisi dengan berbagai aktiviti ibadah dan riadah. Kita ambillah sepenuh erti ibadah sempena berada di tanah suci. Cuba untuk tidak mengerjakan solat dibilik, setidak tidaknya disurau yang disediakan oleh maktab atau masjid kecil yang berhampiran. Paling utamanya berusahalah untuk kekal mengerjakan solat di masjid haram. Kerjakan tawaf sunat selalu samada sebelum mengerjakan solat fardhu di masjid haram atau sesudahnya. Tawaf lebih utama dari mengerjakan solat tahyat masjid jika di masjid haram. Sentiasa iktikaf dimasjid haram. Sentiasa perbanyakan solat sunat di masjidil haram sekalipun selepas asar kerana hanya di masjidil haram tidak dilarang solat nya.
Cuba sedaya upaya untuk mengulangi umrah kerana umrah dikira sebagai haji kecil. Mengerjakan umrah bererti kita mesti pergi tanah halal untuk berniat dan memakai ihram. Dapatkan teksi ke mana mana tanah halal untuk ketanah halal, mereka tidak mengambil sewa teksi selagi kita tidak dibawa balik ke masjidil haram. Sekalipun maktab aku jauh tapi aku tidak merasakan sebarang kebaratan untuk mengulangi masjid haram. Jika bersedia awal, sekurang kurangnya satu jam sebelum masuk waktu, lebih mudah berjalan kaki sahaja. Terdapat juga pengangkutan seperti van sapu, teksi untuk kemasjid. Jika lewat keluar kemungkinan kita tidak berpeluang mendapatkan khidmatnya, dan jika aku berseorang lebih mudah berjalan kaki sahaja. Dicelahan ribuan jamaah yang sedang bergerak kita tidak merasakan juahnya. Terutama diwaktu balik dari masjid, suasana disepanjang jalan akan bertambah sebok dengan ragam peniaga dan pembeli. Berbagai barang di niagakan, pakaian jubah lelaki dan perempuan, buah buahan, permainan dan juga makanan. Peniaga akan mengambil peluang berniaga selagi tidak dihalang penguat kuasa. Sinario yang menarik disepanjang jalan raya.
Sayangnya jalan raya juga akan menjadi kotor, berselerak dengan sampah bungkusan barang, botol air atau cawan plastik. Sekalipun kerja membersih sentiasa berjalan, namun pada waktu waktu tertentu agak sukar melihat keadaan menjadi bersih dimana mana adanya penjalan kaki. Atitud manusia dari berbagai daerah didunia yang mungkin tidak pernah terdidik dengan sifat pembersih dan secara amnya tidak mungkin terkawal oleh pihak berkuasa Arab. Peminta sedekah juga berada dimana mana. Sangat perlu berhati hati dengan mereka. Kita sedar betapa baiknya bersedekah, tetapi jika kepada yang meminta minta datang satu perasaan tidak tulus untuk memberi. Kita akan di kerumun oleh mereka jika dengan gaya terang terangan menghulur. Jika berhasrat bersedekah, hulurkan secara pantas dan teruskan jalan, dengan itu gerombolan tersebut tidak berkesempatan mengerumini kita.
Jamaah lelaki tidak banyak isu berkaitan kes kes kacauan. Wanita sering menjadi mangsa kes kes tertentu. Seorang jamaah wanita mengadu kecurian duit dengan di kepung oleh beberapa wanita negro yang berbadan besar di celah pakaian mereka dan merampas barang. Didalam kumpulan kami terdapat agak ramai juga yang kehilangan handphone. Modus operandinya ialah dengen menyelukkan jari kedalam poket jubah mangsa. Puak puak tertentu khasnya negro yang selalu dikaitkan dengan kes ini. Jari mereka panjang dan cukup untuk menyepit keluar hanphone dari poket jubah lelaki yang khasnya berwarna putih dan jelas menampakan bentuk dan keadaan kedudukan handphone. Allahualam, kerana dari cerita yang didengari oleh kawan kawan, rata rata menyatakan didalam keadaan mereka bersesak di celah celak puak itulah terjadi nya kes itu, juga kata mereka terasa sentuhan tersebut tapi tidak menyedari matlamat pelakunya. Kehilangan handphone adalah satu kacauan fikiran, mungkin. Kesukaran berhubung diantara pasangan khasnya, selain segala keindahan dari petikan lensa yang tersimpan didalam memeori chipnya, hilang begitu sahaja. Aku dapat merasakan perasaan itu kerana dua orang dari kawan bilik sebelah kehilangan handphone. Yang paling buruk ialah kehilangan sabar dengan lantunan kata kata bisa dari mulut menyalahkan keadaan sekeliling. Pasrah dan ridholah dengan kejadian sedemikian, jika hati dan jiwa terbuka maka kita itu adalah ujian kecil yang baik untuk kita.
Kita jamaah Malaysia dikira jumlahnya tidak banyak berbanding jamaah negara lain. Rata rata jamaah berkulit hitam atau negro dan jamaah Pakistan atau India yang memenuhi penglihatan. Jamaah Indonesia juga diantara yang terbanyak dapat dilihat. Memang jumlah mereka besar dari kita kerana kuota 1 % dari 200 juta penduduk adalah 200 ribu sekalipun sejumlah 70% sahaja yang mengerjakan haji pada sesuatu musim. Kuota jamaah Malaysia hanya sekitar 30 ribu orang. Pengenalan jamaah dari mana mana negara dapat dilihat dengan tampalan tulisan samada pada bag, baju, tudung atau bendera yang mengiringi kumpulan mereka. Mekah adalah tempat himpunan manusia sejagat yang tidak dibezakan oleh apa pun sifat lahiriah. Mereka semua bersaudara diatas satu nama, ISLAM. Aku terkejut bila ku lihat ‘Israel’ tertulis dibelakang baju jamaah. Kecetekan fahaman pada permulaannya membuat aku terasa begitu. Tetapi di Israel masih ada ratus ribuan umat Arab mahupun Yahudi Islam yang datang mengerjakan haji mahu pun umrah. Nama nama kepulauan kecil seperti Fiji, Singapore pun kelihatan.
Negara popular yang lain, USA, Cina, Rusia dan nama nama Negara di Eropah, ada saja dimana mana, dan yang ketara ialah dari beberapa Negara Afrika. Mereka ketara disebabkan perbezaan pakaian. Unik dengan corak yang berbeza, berwarna warni dan ketara sekali penampilan keras dan kasar tindak tanduk serta pertuturan mereka. Makan minum. Kedai menjual makanan juga banyak dengan jualan nasi arab, roti ala roti canai dan berbagai jenis makanan segera jenama barat seperti KFC, MCd yang dibuka seawal pagi. Kecuali food court didalam komplek beli belah hanya dibuka pukul 1000 pagi. Tidak ketinggalan restoren Malaysia, Felda D’Saji di Mekah. Kedai runcit juga awal awal memulakan perniagaan. Tidaklah disekat untuk membeli makanan yang dijual ditepi jalan, tetapi lebih baik dielak kerana tidak di yakini akan kebersihannya. Makanan seperti nasi lemak pun dijual oleh peniaga wanita Indonesia.
Adalah lebih baik menyediakan makanan sendiri di bilik, seperti membuat roti sandwich, makan biskut, mee segera atau membeli dikedai makanan dan di makan di bilik maktab. Banyak kedai makan milik peniaga Indonesia baik di Mekah maupun di Madinah. Orang Indonesia telah mendahului kita menerokai banyak bidang di sana. Ilmu dan perniagaan. Terpampang bertulis “Rumah Makan’ adalah restoren milik mereka. Bagus makanan yang disediakan. Yang paling umum seperti di Madinah ialah bakso. Dengan harga yang sangat berpatutan ianya menjadi tarikan aku untuk mengubah selera. Jika kita berada di maktab, waktu mengambil bungkusan makan tengah hari sekitar jam 11 pagi. Setiap orang satu bungkus, tetapi tidak dilarang mengambil bagi pihak lain. Selalu aku mengambil bagi pihak kawan. Satu set makanan dengan sebotol air dan sebiji buah epal atau orange atau lai. Makanan malam akan diedar selepas solat asar. Isteri aku juga selalu mengambil makanan bagi pihak aku jika masih berada di luar maktab. Selalunya makanan akan terbiar sejuk hingga ke malam kerana aku dan kawan tidak selalu berada di maktab. Makan bersama sama kawan sangat menyeronokan, lebih lagi aku ada membawa masakan berbagai jenis sambal kering dari tanah air. Aku sendiri yang buatkan, sambal serai, sambal hitam, sambal ikan bilis, yang ku peket kecil kecil. Mujur lulus pemeriksaan dipintu masuk Jeddah, kerana ada yang berputih mata kerana disekat. Banyak peket yang ku bawa tetapi menjadi idaman kawan kawan termasuk dibilik lain. Tak sempat seminggu sambal aku habis semuanya. Satu kisah yang sangat mengembirakan dan menjadi kenangan indah hingga kini.
Pengisian waktu. Menanti hari wukuf yang masih jauh, aku isikan segala ruang yang ada dengan apa juga aktiviti yang terlintas. Riadah bersama rombongan yang diatur oleh pihak pengurusan ketempat utama seperti muzium, jabal rahmah, ladang unta dan berbagai lagi. Banyak waktu ku dihabiskan di masjid haram samada dengan isteri atau bersendirian. Sesekali bersama jamaah maktab mengerjakan solat fardhu di surau maktab. Menjenguk kedai kedai disekitar maktab untuk membeli barang barang keperluan. Kemana pun aku bergerak, aku sering mengambil gambar. Ada masanya minta diambilkan oleh sesiapa yang boleh menolong. Tiada larangan seperti dulu. Sewaktu pergi mengerkjakan umrah laa dulu, mengambil gambar adalah sangat kritikal, didalam kawasan masjid haram mekah atau madinah tidak dibenarkan sama sekali. Didalam kawasan masjid, aku pernah menyaksikan didepan mata, polis Arab merampas kamera dari seroang jamaah Arab dan membuka penutup yang diletak negetif filem, merentap keluar dan mendedah/eksposkan gulungan filem, bererti negetif filemnya tidak boleh di gunakan lagi. Tetapi sekarang tidak dilarang lagi, dimanapun boleh diambil, kecuali berhampiran dengan polis Arab. Selalunya mereka akan marah marah bila diambil berlatarbelakangkan mereka.
Waktu waktu menarik berada di masjid haram buat ku ialah sebelah malam dan subuh. Selain tawaf, solat fardhu, sunat, membaca quran, aku selalu sahaja pergi ke setiap sudut masjid haram yang mana belum lagi aku sampai. Di tingkat atas menyaksikan aliran manusia mengeliling kaabah. Menengok kaabah pun sudah perolehi pahala yang besar. Didalam masjid, disudut tertentu ada guru guru bacaan quran yang di sediakan oleh pengausa masjid, menanti sesiapa yang hendak memperdengarkan bacaan. Ambillah peluang membaca mana mana surah didepannya, beliau akan membetulkan mana yang silap, hinggalah habis bacaan yang kita hendak. Aku jenguk surau diwaktu lapang untuk mengemas sekalipun ada petugas tetap oleh pihak pengurusan maktab. Surau biasanya terletak di tapak letak kereta di bahagian basement. Tidak pernah lengang kerana ada jamaah yang beriktikaf membaca alquran dan solat sunat. Keadaannya tidak sebaik mana kerana disediakan secara rengkas dengan bentangan gulungan karpet untuk kegunaan di musim haji sahaja. Aku sering meruangkan masa mengemas, mengatur dan membersihkan mana yang perlu.
Diantara keseronokan lain yang ku nikmati ialah berkongsi makanan dan minuman di bilik. Jag yang aku beli sangat sesuai untuk membancuh air untuk tiga empat orang. Aku sediakan roti dan bahan campuran sandwich dan makan bersama sama. Adakalanya isteri aku menghantar makanan yang mereka buat. Akak ipar aku memang pandai dalam urusan makanan, beberapakali dibuatnya air asam untuk dimakan bersama ikan tilapia goreng yang dibeli di kedai makan sebagai lauk tambahan. Di kafe maktab ada jualan juadah makanan melayu oleh peniaga melayu seperti kuih muih, mee rebus atau kari dan sebagainya. Tetapi selalunya habis awal. Terutama bila kita balik dari solat subuh, makanan sangat diperlukan kerana tentunya akan lapar.
Subuh sekitar jam 5.00 pagi di Mekah. Aku bangkit jam 3.30, masak air sambil mandi. Bancuh minuman dan makan apa yang ada, selalunya roti yang kulapik dengan sardine tuna dan sayur. Sesekali rebus mee segera dengan telur. Selesai makan aku pun turun kelobi, kalu tak rajin berjalan, tengok tengok kalau ada van atau teksi. Waktu masih luas kerana sememangnya aku bersiap dan bergerak awal. Sangat indah meletakkan diri diwaktu yang segar dipagi subuh begitu, pergerakan manusia tidak terlalu sibok. Tetapi tidak bertahan lama, setengah jam sebelum masuk waktu, penuh lah setiap sudut dengan kehadiran jamaah. Hakikatnya tiada waktu yang sunyi dengan manusia di Mekah, jika kita sebut bandaraya Kuala Lumpur tidak pernah mati atau sunyi, di Mekah lebih lagi, tetapi manusia sibuk disini mencari rahmat dan keredhaan Ilahi.
Selesai solat, jika aku berseorangan, akan membanyakan masa didalam masjid dengan aktiviti biasa, iktikaf dengan solat dan membaca quran atau lepak saja di sudut tertentu hingga ada masanya terlena untuk seketika. Jika dengan isteri, selesai sahaja solat kami akan berlegar diluar masjid, sebelum melangkah balik ke maktab, membeli apa yang boleh dimakan dan makan di lapang terbuka di luar masjid bersama jamaah lain yang juga sedang menikmati juadah masing masing. Bagaikan berkelah dan bersantai di celah celah ribuan manusia yang lalu lalang dan juga baring baring. Kita jarang punya kesempatan yang luas dan selesa untuk tempoh yang panjang baik dimana mana ruang didalam mahupun diluar masjid tak kira siang mahu pun malam. Aku tidak tahu jadual masa kerja pembersihan lantai. Tetapi tidak seberapa lama duduk tiba tiba teriakan oleh pekerja perkerja pencuci masjid dengan uniform birunya kedengaran menyuruh kita beredar. Satu barisan lebih kurang dua puluh pekerja bergerak sebaris untuk membersihkan lantai. Ada masanya bunyi deretan jentera pembersih yang membuatkan kita bingkas untuk beredar. Buat masa itu jika tertinggal sesuatu dilantai alamat putih mata. Apa juga yang ada dilaluan, akan kedalam bekas sampah.
Di maktab tiada masaalah mendapatkan makanan. Kalau di ketuk bilik isteri, pastinya ada sahaja yang dapat dibekalkan untuk aku. Kakak ipar aku sangat cekap menyediakan makanan. Dia punya punya cerita luar biasa tentang curahan rezeki yang tak diduga. Kakak ipar aku diminta untuk menyampai sepucuk surat oleh kenalannya seorang tokeh ajensi umrah di tanah air untuk diberi kepada wakil agensi mutawif di Mekah. Setelah beberapa hari di maktab, dia hubungi petugas tersebut untuk mengambil surat itu. Seorang lelaki orang Patani Thailand datang mengambilnya, berlakulah susulan yang hebat buat kami sekeluarga. Beberapa hari kemudian kami diaturkan untuk mengikutnya mengerjakan umrah. Dibawa dan diiringi kami ke Tanaim dan kembali ke masjid haram dan terus tawaf dan saie, tahalul dan selesai. Selang beberapa hari dan berulang, dihantarnya makanan yang sedap sedap. Selain lauk pauk, buah buahan seperti orange, apel, anggur yang bersaiz besar yang aku sendiri sukar jumpa disebarang tempat. Sudah pasti perempuan tidak makan banyak, dan itulah kenikmatan yang ku katakan tadi bila mereka menghantar kebilik aku. Kawan sebilik kagum dengan jenis makan dengan lauk pauk yang di kira terbaik. Masakan arab daging kambing, daging lembu, ayam, dan berbagai lagi. Kawan sebilik pun merasakan perkongsian menikmati makanan itu.
Kakak ipar aku agak kurang kuat untuk berjalan kerana kakinya tidak berapa kuat untuk menampung badannya yang agak besar. Dia selalu sahaja solat di maktab. Sesekali dia akan mendapatkan khidmat kerusi roda dari pengurusan untuk membawa nya ke masjid haram. Aku dan isteri selalunya pergi berdua atau bertiga dengan biras. Keanihan yang tidak pernah terfikir ialah kami boleh bertemu dengannya bersama penolak kerusi rodanya ditengah tengah ribuan jamaah di masjid haram. Sedangkan pada keadaan biasa khasnya selepas solat atau tawaf, diwaktu kita berehat rehat di persekitaran, dengan hasrat kalau kalau ternampak kawan, tidak mudah dan hampir sukar bertemu kecuali terlalu sedikit. Musim aku pergi terdapat hampir dua puluh orang kenalan rapat yang sama sama pergi, yang terjumpa hanya lima orang. Tiga orang yang mendiami maktab yang sama. Seorang kawan sama sekolah yang dah berpisah hampir 35 tahun, masih mantap wajahnya untuk aku mengesahkan siapa beliau. Bertemu dilobi, beliau tidak mengenali aku, terus sahaja aku capai kad yang tergantung di lehernya, aku pun bersuara dengan mengesahkan namanya seperti yang aku fikirkan. Dia terkejut dan bertanya siapa aku, kami bercerita panjang dan ketawa terbahak disebelah isterinya mengingatkan kisah lama di zaman persekolahan. Yang keduanya seorang bekas kawan seperjawatan yang berhenti kerja awal untuk memasuki bidang lain. Yang ketiga seorang kawan sekerja tetapi bertugas di tempat lain. Seorang lagi peniaga bengkel motorsikal yang selalu aku temui semasa berkursus. Seorang lagi ahli kumpulan pendakwah yang sering bersama ke kampung orang asli di pendalaman hutan. Seorang orang tua kampong di kampong isteri yang sangat aku kenali dan dia juga mengenali seluruh ahli keluarga isteri ku. Seorang lagi kenalan baru semasa kursus.
Kemuncak haji. Begitulah pengisian yang berlarutan sehingga hampir kepada hari yang dinantikan. Beberpa hari sebelum 8 Zulhijjah di umumkan supaya bersiap memasuki hari utama, iaitu hari masyair yang akan bermula pada 9 Zulhijjah. Taklimat diadakan oleh pihak TH kepada semua jamaah. Pada 8 Zulhijjah, bermulalah saat saat yang terpenting didalam matlamat menjejak kaki di bumi tanah haram Mekah. Selepas subuh jamaah segera berada di bilik dengan persiapan untuk ke Arafah. Menyiapkan keperluan untuk kegunaan selama lima hari tersebut. Selepas bersiap, mandi, memakai ihram dengan selitan niat dan talbiahnya, ‘aku memenuhi panggilan untuk mengerjakan haji’, terikatlah kita dengan larangan didalam ihram. Jamaah akan berhimpun di ruang lobi, menunggu giliran menaiki bas mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Setiap jamaah akan membawa sebuah beg muatan sedang untuk kegunaan sepanjang berada di Arafah dan Mina. Satu persatu bas datang dan pergi membawa jamaah ke padang Arafah.
Jamaah telah pun diberi pelan tempat atau khemah yang bakal didiami di Arafah begitu juga di Mina. Jika di ikut dengan betul setiap peraturan yang telah di atur, tiada jamaah yang akan terbabas atau kehilangan. Satu dua kes tetap terjadi, khasnya kepada jamaah yang agak terleka atau kurang pemahaman khasnya warga tua. Barang yang perlu dibawa. =I helai kain ihram (dipakai terus). =1 helai pulikat berjahit. =2 helai seluar. =1 helai pulikat tidak berjahit. =1 helai kurta/jubah. =3 helai tee shirt. =1 helai taula. =Barang penjagaan diri(sabun/ubat gigi/berus gigi dsb). =1 cawan. =Ubat. =Gunting. =Buku buku doa. =Sebarang peket bahan minuman. =Sandal (ditanda dengan sesuatu supaya mudah mengenal). Perjalanan ke Arafah memakan masa tidak sampai satu jam. Jaraknya sekadar 20 km, diperinkat awal didalam kawasan Mekah sangat sesak, sekitar lebih 10 km barulah lancar dan mulalah kelihatan kawasan padang Arafah yang terbentang luas. Jamaah lain yang berjalan kaki juga kelihatan melaut bergerak kesana.
Aku tak menanya dan tak terfikir kenapa mereka berjalan sahaja sedangkan kita di lengkapi kemudahan pengangkutan kemana mana pun. Berpuluh kilometer secara keseluruhan mereka berjalan kaki. Betapa ringannya ujian amalan kita. Didalam kecukupan itu banyak juga suara keras yang menyalahi pihak pengurusan. Didalam pakaian ihram, sampai di Arafah sebelum asar. Selepas menemui ruang khemah masing dan meletakkan beg, jamaah masih bebas dengan aktiviti umum, solat dan berehat kerana pada 8 Zulhijjah belum ada ibadah khusus. Sempatlah bersiar siar melihat sekeliling. Menjelang malam setelah solat dan makan, jamaah akan terus dengan aktiviti biasa. Ada yang baring, duduk diam, berwirid, membaca quran, berbual, ada yang pergi kesudut sudut luar di tanah lapang dengan membentang tikar. Didalam khemah tiada ruang selesa untuk solat. Sangat sempit dan memadai untuk berehat singkat menanti hari wukuf keesokannya. Itulah ujian singkat yang harus diterima secara rohani dan jasmani.
Tandas juga terhad untuk menampung bilangan besar jamaah. Kita kena beratur menunggu giliran. Berilah keutamaan pada yang kurang upaya. Isi air dalam botol untuk kegunaan membasuh kotoran umum, membasuh pinggan, tangan, muka. Airnya suam suam, agak terkejut bila tersentuh kulit. Macam mana pun setelah mandi badan akan segar dan selesa seperti biasa. Sebaiknya bangkit atau tuju ketandas awal awal untuk mandi atau bersuci. Bukan mudah untuk menahan perasaan menunggu giliran sedangkan ada masanya keadaan didalam perut sudah memuncak. Difahamkan suasana dikhemah buat masa ini lebih baik dari sebelumnya dimana kawasan tidak berpagar. Jamaah luar yang datang didalam keadaan tidak diurus seperti kita, akan datang menompang menggunakan tandas. Keadaan akan menjadi tidak menentu dengan sikap mereka. Perkara sebegini masih berlaku, mereka menylinap masuk untuk mendapatkan air. Aku juga tertanya bagaimana cara usaha mereka yang tinggal di luar khemah, di lereng lereng bukit menguruskan makan minum, mandi dan sebagainya. Mereka menjalani ihktiar hidup yang sangat bererti berbanding kita yang sudah sebati dengan fikiran yang menetapkan kita mesti diberi persediaan yang secukupnya. Kita jamaah yang di kendalikan secara teratur tidak sidikit pun dirasakan bermasaalah didalam apa jua urusan. Sedangkan mereka tak kira lelaki perempuan, datang berjalan kaki, tidak punyai tempat khusus dan kemudahan.
Senang dan bertambah ringan erti ujian kita berbanding kerja kerja haji yang dilalui oleh orang terdahulu khasnya dizaman Rasulullah. Yang menyedihkan kita akan mendengar rungutan, komplin mahupun kecaman yang di tujukan kepada TH kerana kesilapan kesilapan tertentu. Alhamdulillah sekaipun cerita ku ini masih dihari pertama di arafah, tetapi rumusan hakikat penemuan dan pengalaman ku ialah ‘tiada masaalah’ dan bersyukur pada Ilahi dengan khidmat sokongan TH. Kita jamaah Malaysia berbelanja sebanyak RM 15 ribu, jika di tukarkan kepada USD berjumlah lebih kurang 4 ribu USD. Jamaah asing yang tidaklah sangat jauh dari sempadan Arab, seperti Mesir, Libya, Sudan, mereka rata rata membelanjakan 10 ribu USD seorang. Mereka terkejut bila aku jelaskan kos kami yang hampir lengkap segala kemudahan. Mereka mendiami hotel hotel atau maktab biasa, ada yang tinggal lebih 2 km jauh dari masjid haram. Untuk tempoh 40 hari, kita dengan kos sebegitu adalah terlalu jauh murahnya di bandingkan mereka yang terpaksa berurusan dan berbelanja sendirian dengan tempoh lebih kurang 2 minggu sahaja. Disini ku syukuri sangat sangat pada Ilahi dan seharusnya tidak ada sebarang rasa dan sangka buruk ku pada pihak TH. Allahualam.
Dari penglihatan jauh, kita dapat lihat ribuan jamaah, putih dengan pakaian ihram sedang memenuhi bukit bukit di sekitar arafah. Sekalipun hanya untuk memenuhi satu hari yang sangat penting, hari wukuf, tetapi kekuatan dan kecekalan itu adalah bandingan diantara kita semua menghadapai ujian tuhan. Bagai mana cara mereka melaksanakan amalan begitu. Kita berselesa dimana mana sedangkan ada yang terpaksa melalui ujian getir bagi memenuhi seruan Ilahi. Esoknya mereka akan terus berjalan kaki selepas wukuf ke Muzdhalifah dan terus lagi ke Mina hingga selesai dan balik semula ke Mekah. Kita dengan bas, dan jika terlewat atau tersasar laluan, maka rungutan akan kedengaran dengan segala tanggapan negetif yang tidak seharusnya terbit untuk menjadi iktibar dan bekalan diri kemana mana selepas ini. Bersyukur, itu lah nilai tertinggi seorang hamba kepada Tuhannya.
Hari teragung. Jauh lagi sebelum menyampai fajar, sudah mula menampakan kesibukan dikalangan jamaah. Awal awal lagi telah bangkit dan bersiap untuk menempuh hari yang teragung ini. Ada yang secara biasa bersiap siap di kawasan khemah dan ada yang telah awal awal mencari ruang yang selesa untuk melakukan solat solat sunat. Banyak ruang kosong diatas tanah terbuka di sebelah khemah, bentang tikar dan kita beramallah disitu. Dalam keadaan yang agak jarak jarak diantara satu sama lain, baru kita sedar adanya nyamuk di bumi kontang itu. Masuk saja waktu fajar, kita akan solat subuh berjamaah didalam khemah yang terpilih. Secara am nya memang tidak muat, bawalah sejadah atau tikar sebagi lapik jika kita tidak ada ruang. Selesai sahaja solat, jamaah pun meneruskan aktiviti biasa, makan minum, berehat.
Wukuf. (Rukun Haji Yang Ke Dua) Rukun bererti mesti di kerjakan, jika tertingal maka batallah amalan dan tiada lah haji buat kita. Wukuf itu ialah berada di arafah setelah terbit matahari pada 9 Zulhijjah tersebut sehinggalah terbenam matahari. Waktu yang dinanti nanti pun tiba. Semua jamaah akan bersolat zohor jamak dengan asar dengan jamak takdim secara tamam, dan diikuti dengan khutbah arafah. Khutbah yang banyak menyentuh akhlak kita sesama manusia dan tanggungjawab kita ssebagai hamba Allah. Disinilah letaknya erti kemuncak bagi amalan ini. Jiwa terasa khusuk dan berserah kepada Allah. Terasa kita bahawa ada tempat bergantung. Kita disini untuk menghadap Tuhan yang menghitung setiap perlakuan. Disinilah kita bermunajat untuk minta di ampunkan segala dosa dan salah silap dan minta untuk mendapat panduan agar kita kekal didalam hidayahnya. Kita manusia biasa yang tidak mampu berbuat apa apa melainkan diatas kehendak Nya.
Menjelang petang, semua jamaah di galakkan keluar khemah dan mencari ruang masing masing sambil menghadap kearah qiblat dan berdoalah sesungguh sungguh dan sebanyak banyaknya. Iringi juga doa doa yang minta di sampaikan oleh pihak lain. Seboleh nya jangalah mencari teduhan, sekalipun terdedah dibawah pancaran matahari, teruskan sahaja berdoa. Yakinilah doa akan di makbulkan Allah. Sini salah satu dari kawasan dan waktu mustajab nya doa. Senja pun berlabuh dan jamaah pun bersiap untuk berangkat ke Muzdhalifah. Selepas solat jamak takdim Maghrib dan Isyak, pengumuman pun di buat untuk jamaah mengikut kumpulan menaiki bas untuk ke Muzdhalifah.
Jarak diantara keduanya sekitar 7 km dan memakan masa lebih setengah jam. Dari atas bas nampak ribuan jamaah di bahu jalan sama sama menuju ke Muzdhalifah. Kawasan tanah lapang semata mata dan disediakan beberapa pintu tandas. Tiada apa kegiatan ibadah khusus di Muzdhalifah. Bagaimana pun ianya wajib untuk setiap jamaah mabit atau bermalam atau singgah sebentar melepasi waktu malam (waktu yang di tetapkan oleh Arab Saudi). Wajib Haji bererti mesti di lakukan dan tidak pula berdosa atau tidak batal hajinya kerana tidak melakukannya, tetapi di kenakan kifarat atau dam. Jamaah akan duduk sambil berwirid, ada yang baring dengan membentangkan tikar dan ada yang mengutip batu kecil. Mengutip batu juga satu dari kerja yang dibuat semasa berada disitu. Batu tidak perlu di kutip banyak banyak mencukupi bilangan lontaran nanti kerana di Mina terdapat banyak tempat untuk mengutipnya. Satu perhimpunan singkat yang besar kerana waktu ‘tengah malam’ adalah pendek. Dianggarkan bermula jam 11.30 hingga menjelang subuh. Jamaah yang berjalan kaki selalunya tidak akan menetap lama, sebaik sahaja tertunai erti bermalam atau singgah sebentar, mereka akan terus berjalan menuju Mina. Berbeza dengan jamaah yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan. Kita terpaksa menunggu bas yang tidak menentu jadualnya di tambah oleh kesesakan yang keterlaluan. Apapun malam itu kami bergerak lancar, menaiki bas sekitar jam 3.30 pagi dan sampai sejam kemudian di Mina. Kelihatan disepanjang perjalanan, adanya perkhidmatan keretapi. Oleh kerana kita tidak memerlukan, sebarang cerita dan kaedah penggunaannya tidak di ketahui lansung.
Mina. (Kawasan mabit dan melontar jamrah). Lebih kurang 4 km sahaja dari Muzdhalifah, sampailah seluruh jamaah ke satu lagi kawasan yang sangat strategik, seluas mata memandang, sangat banyak kisah yang berkisarkan kes kes besar yang di hadapi oleh jamaah. Kes kematian berpunca dari kebakaran khemah, kematian dari rempuhan. Putih segala ruang buminya di tutupi khemah dan disinilah penempatan hampir 3 juta jamaah bermula dari 10 Zulhijjah hingga ke 13 Zulhijjah. Khemah kami dikawasan yang ditetapkan dizon jamaah Asia Tenggara yang terletak lebih kurang 3.5 km jauhnya dari kawasan melontar. Kalau tidak silap ku berhampiran laluan masuk terowong muassim yang popular itu. Khemah yang agak moden, kalis api, ber aircond dengan bentangan karpet dan ruang untuk setiap jamaah tetap sempit dan sukatannya juga sama seperti khemah di Arafah.
Semua itu tidak menjadi masaalah kerana seharusnya semua jamaah memahami sebabnya. Jamaah ditempatkan mengikut ruang yang telah di tetapkan mengikut pelan yang diberi. Kawasan khemah diletakan penanda bergambar tertentu seperti pen, bola, buku dsbnya. Ada juga jamaah menambah dengan ikatan perca kain mengikut kemahuan mereka agar mudah mengenali. Seperti juga di Arafah, setiap kawasan maktab telah dipagari untuk tidak terlalu terdedah kepada jamaah asing. Oleh kerana ianya tidaklah dikawal, kemasukan jamaah asing tidak dapat dielakan khasnya untuk mendapatkan air. Sama sahaja masaalah tandasnya, bilangan yang terhad dan terpaksa beratur untuk menunggu giliran. Mahu tidak mahu jika tersedar akan sesaorang dikalangan kita yang agak lebih diutamakan, kita mengalah dan dahulukan mereka. Yang terbaik ialah bangkit atau bersiap seawal mungkin sebelum kesibukan bermula atau sebelum solat khasnya.
Melontar jamrah kubra. Pada hari pertama, 10 Zulhijjah, dan masih didalam ihram berlajutan dari Arafah, Muzdhalifah, jamaah akan berjalan kaki menuju ke tempat melontar. Perkara wajib haji yang terutama. Berbekalkan 7 butir batu kecil, seperti yang telah ditetapkan oleh muaasasah, berkumpul di luar khemah dan memulakan perjalanan. Kami di fahamkan jarak dari khemah ke tempat melontar ialah 3.5 km pergi dan balik berjumlah 7 km. kalau dengan sengaja di tanah air berjalan sejauah itu, mungkin tidak. Dengan jumlah jamaah yang ramai didalam satu laluan dan diringi talbiah dan berbagai zikir, sedar sedar kita telah sampai kepintu masuk kawasan melontar. Mungkin kerana menepati jadual yang di tetapkan, aku tidak nampak persekitaran laluan menuju ke tempat melontar sebagai sesak secara tidak menentu seperti yang selalu dipaparkan. Segalanya berjalan secara teratur bersederhana dan tiada didalam pemerhatian ku untuk ku kira sebagai tekanan.
Melalui terowong yang besar dan berbahagi dua hala. Untuk pergi satu terowong dan balik terowong yang lain bersebelahan. Banyak kipas bergantugan di bumbungnya dan di sediakan beberpa belas eskelator yang mendatar, setiap satu sepanjang lebih kurang 50 meter pada anggaran ku. Sangat sesuai untuk jamaah yang kurang upaya berjalan. Sekalipun aku tidak bermasalah untuk berjalan kaki sejauh itu tetapi kerana mengiringi isteri, biras dan kakak ipar yang sememangnya tidak cukup kuat berjalan kaki, terpaksalah aku bergerak mengikut rentak mereka sambil menghalakan camera merakam persekitaran.. Satu hikmah dari matlamat mengerjakan ibadah, maka pada hari itu dengan jarak yang sejauh itu, ibadah kami terlaksana.
Keluar sahaja terowong, kelihatan petunjuk arah menuju ke tempat melontar di aras tiga. Komplek kawasan melontar di bina setinggi tiga tingkat. Dari atas sepanjang laluan kita dapat melihat kebawah tebaran jutaan manusia bergerak pergi dan balik dari melontar. Masuk saja ke kawasan melontar, kami melangkau dua tempat jamrah. Jamrah sugra dan wusta untuk menuju ke jamrah kubra yang dibna dengan reka bentuk yang serupa dan di tulis petunjuk menandakan nama jamrah yang jarak diantara satunya lebih kurang 100 meter. Sampai sahaja, lontaran pun di lakukan satu persatu dengan kalimah takbirnya. Untuk hari ke 10 Zulhijjah itu, melontar 7 butir dijamrah kubra sahaja yang di wajibkan. Hakikat ujian yang berat didalam amalan ini, bagi aku ialah langkah menyampaikan ke kawasan ini dan dengan melontar jamrah, terlaksanakan satu simbolik kemenangan diri mengatasi rintangan yang berat tersebut. Oleh kerana ia lontaran di tempat yang terakhir, tiada apa lagi yang hendak kita lakukan selain itu. Kita pun begeraklah perlahan mengikut laluan sehala menuju balik ke terowong bersama ribuan jamaah lain meninggalkan komplek.
Untuk melepasi laluan binaan komplek itu yang masih jauh menyampai ke pintu terowong, kita dapat lihat berbagai keadaan persekitaran dan gelagat manusia yang menjadi perhitungan minda. Laluannya lebar yang mungkin boleh dilalui oleh tiga buah lori. Selerakan sampah sarap yang tak terurus disebabkan ramai jamaah asing yang tidur bermalam disitu. Terdapat juga kesan kesan najis manusia di sepanjang dinding tebok pagar. Sekalipun ramai pekerja pembersih tetapi lebih kepada memerhatikan siapa yang teringin menghulurkan derma atau sedekah kepada mereka maka tugas mereka tidak bersungguh, hingga ada yang di herdik oleh supervisor. Namun kesempatan menyambut huluran dari pemberi lebih diutamakan. Apapun itu adalah dari pemerhatian ku yang tidak berhasrat mencari kelemahan mereka tetapi hati aku tidak bersetuju dengan tindakan itu yang ku anggap tidak melaksanakan tugas dengan jujur. Tetapi disepanjang terowong pergi dan balik, keadaan didalamnya agak bersih dan terkawal.
Terus sahaja memasuki terowong setelah menengok persekitaran sambil berjalan balik. Didalam terowong memang tiada apa yang dapat dilihat melainkan ribuan jamaah didepan dan di belakang. Rata rata jamaah lain yang bersama kami melalui terowong ialah jamaah Indonesia dan jamaah bangsa lain yang bukan jamaah Afrika. Disitu aku menyatakan kurangnya gangguan perasaan kerana tiada nya orang orang besar afrika. Mereka mungkin di zon lain.
Tahalul.(Rukun yang mesti dilaksanakan) Sampai kembali ke khemah, terus sahaja bersama sama jamaah lain yang sama sama sibuk melakukan tahalul. Macam macam lawak dari kerenah jamaah yang bertahalul. Ramai yang bercukur terus. Mereka bergilir gilir mencukur kepala, selepas di cukur kepala kawan, kawannya pula mencukur kepalanya, menjadi satu rentak yang menghiburkan. Dengan bertahalul maka lepas lah dari larangan ihram kecuali ada lagi tiga larangan yang mesti dipatuhi dan boleh melepaskan pakaian ihram kepada pakaian seperti biasa. Satu perasaan bebas seperti mula mula selepas kita mengerjakan umrah sebelum ini. Keadaan harian sudah mula agak bebas. Kita sudah boleh kemana mana dipersekitaran, mengutip batu, berbelanja membeli makanan atau bersiar berjalan dipersekitaran. Didalam khemah juga seperti biasa, ramai yang sudah kepenatan setelah berjalan sejauh hampir 7 km pergi dan balik, baring dan tidur selagi tidak digerakankan oleh laungan azan masuknya waktu solat. Disini solat tamam seperti biasa. Bila masuk sahaja waktu salah seorang dari jamaah akan melaungkan azan dan diikuti jamaah lain menyusun baris saf dengan membentang sejadah atau tikar yang ada. Setiap khemah dengan solat berjamaah masing masing. Jadual makan seperti biasa dan makanan yang dibekalkan juga serupa seperti di maktab.
Didalam itu aku saja memikirkan bagaimana agaknya kaedah dan urusan kedatangan jamaah lain seperti dari India, Pakistan, Bangladesh dan lain untuk mengerjakan haji. Aku nampak mereka seperti tiada berpenempatan, tidur merata rata di atas tanah terbuka, dilereng bukit, di tepi jalan raya, di sebelah masjid, disebelah luar khemah, dimana juga adanya ruang kosong, berlapikan kain atau kanvas atau carpet usang. Apakah kaedah yang membolehkan mereka sebegitu. Ada yang kulihat seperti tidak punya apa untuk di makan secara teratur mengikut rutin. Ada beberapa orang ku tanya dengan aksi tangan samada sudah makan atau belum. Ada yang menjawab belum. Oleh kerana keliru aku tidak tahu erti sebenarnya sama ada belum makan atau tiada apa yang dapat dimakan, aku berikan sekadar apa yang aku hajat untuk mereka dan mereka begitu berterima kasih. Jika masih aku merasakan susah pada sesuatu tahap ujian kecil yang mungkin berlaku didalam jalanan ini, aku sangat silap untuk ku bandingkan keadaan aku dengan mereka yang dengan jelas ku saksikan dimana mana disana tinggal didalam keadaan yang tidak diurus seperti kita. Inikah erti nikmat, Allahualam.
Mabit dan melontar pada 11-12 dan 13 Zulhijjah. Kerja ibadah untuk ketiga tiga hari ini sama sahaja. Pergi melontar ke tiga tiga jamrah, sughra dahulu, wusta dan akhirnya kubra. Sememangnya kita akan melalui ketiga tiganya lontaran mengikut susunan tersebut sebagai tertib kerjanya. Sebaikkan kita memassuki kawasan lontaran yang pertama kita lihat ialah jamrah sughra, kemudian wusta dan akhirnya kubra. Jamaah di galakan bergerak sekitar jam 1000 pagi dan tidak lagi dimestikan didalam kumpulan khas. Sesiapa yang sudah bersedia, boleh bergerak. Di hari 11 Zulhijjah, kami sekeluarga keluar serentak. Seperti biasa, perjalanan yang bersederhana kerana kakak ipar aku tidak kuat langkahnya. Sampai juga dan balik seperti biasa. Petang itu, aku di panggil oleh isteri untuk bertemu di khemah klinik. Kakak ipar sudah tidak boleh berjalan dan semput. Jangkaan itu tidak menghairankan, kerana berjalan kaki sejauh 14 km untuk dua hari bukanlah satu gurauan untuk dia. Kakinya sakit bengkak dan lelah bertambah kuat. Setelah mendapatkan rawatan, doctor menasihatkan supaya dia mewakilkan adik adiknya melakukan lontaran. Dia mampu untuk sihat agak segera. Pada 12 dan 13 Zulhijjah kami bertiga sahaja pergi kejamrah meneruskan lontaran. Selesai sahaja lontaran untuk diri sendiri, isteri aku melontar pula untuk kakaknya, hingga selesai semua jamrah.
Pada 13 Zulhijjah, setelah melontar, kami turun ke tingkat bawah melalui tangga, menyaksikan keadaan sekitar. Bilangan jamaah tidak lagi seramai sebelumnya, dan banyak terdapat kedai menjual berbagai barang, makanan, buah buahan dan lain. Selepas membeli sedikit makanan, kami naik semula ketingakat tiga dan balik ke khemah. Sempat bertemu kawan yang setaman kediaman dengan ku semasa di bawah tadi. Hari ketiga tidaklah lagi sesibuk hari sebelumnya dan banyak ruang untuk menyaksikan persekitaran dan bergambar. Sampai di khemah kelihatan ramai jamaah sudah mula berkemas dan bersiap sedia untuk balik ke Mekah. Disinilah penghujung kemucak haji kita.
Setelah segala usaha kita jalankan sepanjang hayat untuk mencapai satu tujuan beribadah yang dianggap berat, berat kerana jauhnya, kerana perbelanjaannya, kerana meninggalkan tanah airnya dan yang disayangi, maka pada 13 Zulhijjah lengkaplah matlamatnya utamanya. Aku bersyukur diantara juataan jamaah yang sama sama dapat menyempurnakan. Allah masih mengizinkan kerana kita tahu ada berbagai kisah yang bukan kerja manusia untuk mengukurnya, ada yang dihari akhir terbatal hasratnya, ada yang sudah mendiami bumi Mekah tetapi didatangi keuzuran berat menghalangnya. Sedangkan kita di permudahkan dengan segala pelaksanaan hingga kepenghujung. Kita hanya tinggal satu satu ibadah yang mesti dilakukan di Mekah sebagai pelengkap kerja haji, iaitu tawaf dan saie.
Sebelum zohor bas telah menanti untuk mengangkut kami balik ke Mekah. Semacam dengan kisah sebelum ini, kawan sebilik naik dua bas awal pada kami, tetapi lewat sampai. Bukalah besar mana ertinya cuma kadang kadang ada pemandunya yang kurang cekap dan ada yang menunjukan sikap tertentu menyebabkan lewat. Aku sampai sebelum zohor dan setelah menghantar barang, terus mengerjakan solat berjamaah di masjid berhampiran. Petang itu juga kami sekeluarga ke masjid haram untuk meneruskan tawaf dan saie haji yang mesti dilengkapkan. Alhamdulillah perjalanan lancar, selesai tawaf terus mengerjakan saie. Pastinya agak perlahan kerana aku mengiringi kakak ipar yang agak kurang kuat. Disyorkan dia menggunakan khidmat kerusi roda, tetapi dia lebih berminat untuk berjalan. Kami pergi dan balik dengan menaiki teksi. Hakikatnya itulah penutup kerja haji tamattu.
Tidak ada apa lagi yang merintangi perasaan dan perlakuan mulai selesainya tawaf dan saie tadi. Kita bebas sebebasnya seperti orang biasa yang sedang berada di Mekah. Kecuali sesekali kita pergi mengerjakan umrah maka untuk tempoh itu sahaja kita terikat dengan syarat larangannya. Aktiviti kita pun bebas, melakukan sebanyak banyaknya amalan di masjid haram, beriadah dan bergerak bebas kemana sekali pun. Aku masih seperti sebelumnya, tidak melepaskan peluang untuk terus berada di masjid haram, selalunya aku bersendirian kerana isteri dan yang lain jarang mengikut dan lebih berada di maktab. Ada harusnya begitu kerana wanita tidaklah bagus selalu berada diluar dengan kesesakan ribuan jamaah.
Mekah dipenuhi segala keindahan, dari yang terutamanya beribadah termasuklah bershopping. Tiada penafian, kerana bagi mereka yang punyai kemampuan pasti bershopping. Segalanya boleh dibeli. Aku juga serupa, beberapa hari lagi untuk meninggalkan Mekah, berjalan ke meratarata komplek di sekeliling masjid untuk mendapatkan barang barang di bawa balik. Jubah lelaki dan perempuan untuk anak anak dan ibu, (tiada lagi bapa dikedua dua pihak). Beberapa helai sejadah untuk di agihkan. Sehari dua lagi sebelum meninggalkan Mekah, semua barang barang itu dibungkus didalam kotak dan di poskan balik untuk memudahkan kita mengendalikan beg pakaian sahaja yang akan di bawa ke Madinah.
Oleh kerana kami jamaah yang terus menuju Mekah, sebelum balik kami akan ke Madinah dahulu. Tawaf Wada’. (Tawaf selamat tinggal – kepada Baitullah) Setelah di maklumkan jadual bas berangkat ke Madinah, jamaah menurunkan bagasi ke lobi dan terus ke masjid haram untuk melakukan tawaf wada’. Mesti dilakukan dan jika dengan sengaja tertinggal maka dikenakan dam. Dengan kesayuan perasaan, kita pun terus sahaja bertawaf dan inilah kali terakhir untuk kedatangan menengok baitullah. Habis tujuh pusingan terus sahaja melangkah keluar masjid, balik ke maktab. Tidak berapa lama bas pun sampai, kami pun naik dan memulakan perjalanan ke Madinah. Bagasi di angkut oleh lori lain. Dikatakan satu perkhidmatan baru yang disediakan oleh TH, mengasingkan bagasi dengan jamaah. Tetapi dari Jeddah ke Mekah, bagasi kami diatas bumbung bas. Selamat tinggal tanah suci Mekah.
Madinah. Perjalanan memakan masa tidak kurang 7 jam, lurus bagaikan tiada bengkang bengkok jalannya. Jalan rayanya dua hala dan lebar, perjalanan yang selesa dengan kelajuan yang agak sederhana. Tiada apa yang dapat dilihat diluar bas melainkan hamparan padang pasir. Sesekali terlihat ladang kambing atau qibas, hampir tiada padang rumput atau berpokok. Qibasya gemuk gemuk bersepahan meragut sesuatu, rumput halus mungkin. Dipertengahan perjalanan, bas berhenti disatu kawasan rehat. Ada kedai makan dan bersuci. Menghampiri asar kami sampai di Madinah dan di tempatkan di Hotel Al Haram yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari masjid nabi. Oleh kerana masih ada kesempatan, setelah mendapatkan bilik dan meninggalkan barang, aku terus sahaja ke masjid untuk solat asar yang baru sahaja melepasi azan. Di Madinah jarak diantara azan dan qamat sangat lama, ada masanya sehingga 20 minit. Tiada masalaah kelewatan untuk berjamaah. Kita kekal berjamaah di masjid kerana peluang sesekali dan sememangnya diantara sunah mendapatkan 40 puluh waktu solat.
Di fahamkan jumlah keseluruhan jamaah seanggaran 200 ribu orang sahaja pada satu satu masa, kerana dikawal kemasukannya oleh pihak muassasah. Sememangnya Madinah tidak kelihatan sesak dan bercelaru, semuanya terkawal dan tersemulajadinya keadaan di Madinah terasa tenteram dengan sikap keseluruhan penduduk dan jamaah yang datang. Suhu di waktu malam ke pagi subuhnya sejuk, ada masanya menggetarkan tubuh lebih lagi bila angin bertiup kuat. Bilik hotel besar dan didalam terbahagi kepada dua bilik lagi. Bilik satu agak kecil dengan empat katil sahaja. Di situ aku bersama tiga kawan sebilik asal, seorang dari kawan sebilik bersama kawan lain di bilik sebelah. Bilik sebelah juga kawan kami di bilik lain semasa di Mekah. Keseluruhan kami di bilik itu seramai 10 orang. Bertambah kawan yang sebelum ini sekadar kenal kenal kini menjadi kawan rapat. 9 hari menjalinkan hubungan mesra kami semua.
Keesokan hariya TH haji mengaturkan lawatan disekitar masjid, menziarah makam nabi dan terus ke kubur baqi’. Seterusnya jamaah bebas untuk sebarang aktiviti. Jamaah juga di bawa melawat kebun tamar, dan masjid Quba. Ramai yang mengulangi masjid Quba secara sendiri dengan menaiki teksi, melakukan solat di masjid Quba menyamai satu kali mengerjakan umrah. Aku lawati setiap sudut masjid termasuk di bahagian atas bumbungnya. Tidak ramai yang solat di situ dan yang anehnya banyak belalang kunyit besar besar di atas lantai. Di waktu lapang aku dan isteri sering bersiar disekeliling masjid, di muzium islam di luar pagar sebelah kanan masjid, kedai jual tamar lebih kurang 400 meter dibagaian hadapan masjid. Disekeliling 200 meter masjid banyak lagi kedai tamar selain pasar yang popular itu. Minat kepada tamar sudah sebati di sebahagian besar jamaah untuk di beli dan di bawa balik. Sekali lagi satu kotak bungkusan pelbagai barang terpaksa aku pos balik.
Dalam sedar atau tidak, dalam minat dan tidak untuk bershopping banyak juga barang yang di bawa balik. Beg pakaian yang dulunya masih separuh kosong menjadi penuh, apatah lagi pada isteri, padat sepadatnya.
Mungkin selera manusia berbeza beza, tetapi rata rata menyatakan makanan yang dibekalkan di Madinah agak kurang enak, berbeza di Mekah. Oleh kerana banyaknya kedai makan atau rumah makan yang menyediakan makanan, kami selalu sahaja membeli di luar walaupun makanan yang di bekalkan tetap di ambil. Bakso diantara minat aku. Di beli sebungkus, satu mangkuk plastik, bawa balik dan di makan bersama nasi yang di bekal. Di supermarket dijual pek rendang, juga sesuai untuk menambah selera. Banyak kedai makan yang menyediakan roti ala roti canai. Nasi arab boleh di dapati dimana mana restoren sekeliling masjid. Rezeki untuk bertemu saudara mara, adalah sesuatu diluar jangkaan. Selepas solat isteri aku duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh pencermah Indonesia. Di sebelahnya ada seorang jamaah perempuan Malaysia yang tidak dikenalinya. Mereka berbual rengkas mengisahkan hal masing masing, termasuklah menceritakan kawan sebiliknya yang bernama ini dan ini. Isteri aku seperti mengenali siapa yang dimaksudkan, dan meminta nama hotel dan nombor bilik. Lewat petang itu aku dan isteri pun pergi lah menziarahinya. Emak saudara aku yang sudah sangat tua datang bersama anak lelakinya dan tinggal sebilik bersama perempuan tadi. Aku pernah di beritahu tentang kehadiran mereka, tetapi tidak tahu bila dan di mana penempatannya. Mereka baru saja sampai di Madinah sedangkan kami akan berangkat balik esoknya. Sempat juga aku bertemu dengan sepupu ku dan makan ais krim bersama di kedai.
Apapun sebelum kita berangkat balik, semua jamaah sudah pun dipesankan untuk tidak membawa barang lebih dari 30 kg seorang. Aku dan isteri lulus, ramai yang gempak dengan lebihan berat, tetapi itu semua lebih pada gertakkan saiko semata mata. Ada yang menyatakan strategi wakil pos supaya diposkan melalui mereka, aku tidak pasti, tetapi jika di himpunkan keseluruahan barang dan di nisbahkan mengikut jumlah jamaah, beratnya masih tidak di kenakan sebarang bayaran tambahan. Sebagaian jamaah yang dengan berani memuatkan lebihan barang, terasa lega bila disedari tiada masaalah turutan dari begnya yang berlebih berat tadi.
Setelah tinggal selama 9 hari di sini, lewat tengah malam, kami semua di minta bersiap untuk ke lapangan terbang Madinah. Bagasi pun di angkut oleh petugas khas di hantar terus ke lapangan terbang. Kami menaiki bas dengan perjalanan selama lebih kurang 20 minit. Tidak lama disitu masuk waktu subuh. Diluar banggunan cuacanya sangat sangat sejuk, hinggakan sebahagian jamaah tidak sanggup pergi kesurau yang terletak di bahagian luar banggunan. Mereka solat di ruang ruang kosong yang ada sahaja. Di ruang berlepas, jamaah diminta mengambil satu naskah quran setiap orang. Tidak lama selepas itu pintu berlepas pun di buka untuk jamaah menuju ke pesawat. Hari pun semakin siang kerana dapat ku lihat dari pesawat hamparan padang pasir yang luas terbentang. Bermulalah penerbangan kami yang memakan masa lebih kurang 8 jam menuju tanah air. Selamat tinggal Madinah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment