Monday, February 13, 2017

Hujan Di Halaman Rumah Ku.

Nikmat hujan.                https://youtu.be/-l1O1xQsBy0

Dari kecil hingga ke dewasa, sesuatu yang tidak lekang dari keinginan ku bermain di dalam hujan. Jika hujan lebat lebih dari 15 minit, tanpa guruh dan kilat, jika aku sedang berehat dirumah, pastinya aku akan keluar bermain dengan hujan. Itu satu hobi tetap sepanjang tempoh hayat ku. Dulu aku hanya bermain seperti biasa, berlari dibawah curahan langit atau jika di kampung tentunya yang sangat seronok dibawah curahan salur atap.     
Sekarang bertambah satu lagi kegiatan yang hampir menjadi sesuatu yang tetap, jika kebetulan kereta sedang berada diluar, terus sahaja membawa kain pengelap kereta dan menyentalnya. Jika kereta masih didalam berandar, keluarkan dan terus menyental. Bagaikan kerja pembersih kereta dan kereta pun bersinar selepas hujan. Itu satu dari nikmat hujan.      
Tuhan turunkan hujan sebagai rahmat, dan rezeki. Jika berlaku selain dari apa yang mata kita saksikan terhadap turunnya hingga menyebabkan bencana, bukanlah urusan kita untuk mentafsir kehendak dan ketentuan Ilahi. Maka disitu harus ditetapkan bahwa Allah menjadikan sesuatu dengan hikmah tertentu. Allah jadikan yang baik juga yang buruk bertujuan membuat makhluknya mengenali hakikat keujudan dan kekuasaanNya.        
Oleh itu hujan tidak memudaratkan manusia, melainkan manusia tewas dengan perhitungannya untuk menerima hujan sebagai kebaikan. Kita biasa dengar pekikan rang tua kepada anak anak kecilnya, “jangan main hujan nanti demam”. Demam kerana hujan sesuatu yang tidak tepat mengikut kaedah perubatan dan kesihatan. Demam kerana virus, itu logik umumnya. Jika virus didapati didalam hujan tiada dapat dinafikan boleh dihinggapi demam. Itu pun diluar akal untuk mengesahkan, kerana aku sentiasa dibebaskan untuk bermain hujan dari kecil ku sehingga aku sendiri tidak mampu menyekat minat untuk bermain hujan sehingga sekarang, dan aku tidak pula tahu dan seingat aku tidak pula aku demam kerananya.  Malahan diberitahu oleh ilmuan agama bahawa hujan itu adalah penawar kepada beberapa penyakit jika kita mandi mandi mengikut aturannya.
Diantara kesan psikologi dengan ungkapan rang tua tadi ialah anak anak akan tersekat mindanya dengan menyimpan satu tanggapan negatif bahawa hujan itu satu perkara yang berbahaya. Sama seperti menanamkan sifat negatif terhadap sesuatu dengan ungkapan, “jangan main kat situ nanti polis tangkap’, “jangan panjat nanti jatuh” “jangan..jangan.. bahaya, itu dan ini” dan macam macam lagi unsur unsur negatif yang merosakkan minda anak anak. Jika kita bersedia dengan kemampuan akal untuk menilai tindakan anak anak, mengawal, mengawasi, memberitahu kaedah yang betul, semua itu boleh sahaja di lakukan tanpa jeritan, tegahan kepada anak anak.       
Aku tidak bersendirian untuk aktiviti ini. Bila anak anak lelaki ku sudah mula aktif untuk diajak bersama, serupa sahaja tindakan ku. Kebetulan dihadapan rumah ada padang sukan, bila hujan turun lebat tentunya ada kawasan lekok atau lopak kecil yang di penuhi air, di situlah keseronokannya. Kami bermain dan anak anak aku mengelunsur menerjah air. Cukup untuk beberapa minit, masuk ke beranda rumah dan menyiram badan dengan air bersih.       
Diluar sana mungkin berlaku disebaliknya, apapun itu tiada silapnya mengapa Tuhan curahkan hujan. Jalan raya bertambah sesak bila hujan, kerana sebahagian pemandu bersikap berhati hati dijalan raya yang licin juga mungkin gangguan jarak penglihatan, dan sering terjadi kemalangan di dalam hujan.
Di Kampung, si petani mengharapkan hujan untuk menyiram pokok tanaman. Dulunya jika hujan disebelah malam, si penoreh akan terbantut hasil pencarian kerana tidak pergi menoreh seharian kerana kelembapan pokok getah setelah di timpa hujan, tetapi kini mereka mengelap batang pokok untuk ditoreh atau pergi menorah bila dirasakan pokok sudah kering, tidak kira pukul berapa . Mereka maju selangkah demi mengisi keperluan pencarian hidup.
Bumi ini perlukan hujan, siapa yang mudah terpancul dari mulutnya ungkapan durjana kepada Tuhannya, maka akan kita dengar, “bila nak hujan entah, panas dah berminggu minggu”, bila hujan turun berterusan, maka satu lagi statement cabul akan terpancul, “susahlah hujan tak berhenti henti ni..”. Itu manusia dengan sifat pelbagai mereka.  Cuaca buruk sinonim dengan hujan, jika cuca terang tanpa hujan, pastinya berbunyi cuaca baik. Untuk kita, di pohonkan agar sentiasa bersyukur dan redho menginsafi setiap apa jua yang berlaku kerana kita manusia di hidupkan untuk mentaati dan mengabdikan diri kepada Penciptanya, dan yang pastinya hujan itu nikmat. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment